AHLI Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan berpuas hati selagi tidak dilantik menjadi Perdana Menteri.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata, beliau tidak faham dengan sikap Ahmad Zahid yang masih ‘bising-bising’ mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dilangsungkan lebih awal walaupun Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menerajui jentera pentadbiran negara.
“Tak puas hati lagi? Apasal tak puas hati? Tak puas hati pasal dia nak jadi tu.
“Zahid tu, saya boleh kata di sini. Dia tak puas hati kerana dia tak dapat jawatan itu.
“Teruk… bukan untuk parti. Yang diperjuangkan dia hendak kembali berkuasa,” katanya dalam sidang media khas di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.
Pada masa yang sama, Tajuddin mencadangkan agar Ahmad Zahid ‘berehat’ daripada menjalankan tugas sebagai Presiden UMNO.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berdepan jumlah kes yang banyak sehingga menjejaskan kemampuannya menerajui sebuah parti yang besar seperti UMNO.
“Kita akan mengadakan pilihan raya. Lebih baik, orang kata, tumpu… selesaikan masalah dia. Kita doakan yang terbaik,” jelasnya.
Tajuddin percaya Ahmad Zahid akan berdepan kesukaran untuk memberi tumpuan terhadap tugasnya selaku Presiden UMNO sekiranya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam masa terdekat.
“Pening kepala dia nak memikirkan turun naik mahkamah. Lebib baik dia tumpukan terhadap masalah peribadi dia.
“Jangan masalah peribadi dia itu membebankan UMNO,” ujarnya.
Tajuddin juga meluahkan kekesalan dengan layanan yang diberikan oleh kepimpinan UMNO terhadapnya sekarang walaupun beliau berkerja keras menaikkan semula parti selepas kalah teruk pada PRU-14.
Beliau telah menggunakan wang sendiri bagi mencetuskan gelombang perpaduan orang Melayu dan umat Islam sehingga menyaksikan UMNO dan PAS tidak bertembung pada beberapa pilihan raya kecil.
“Kalau nak tau, satu sen pun UMNO tak bagi saya untuk menganjurkan semua itu,” jelasnya.
Tajuddin berkata, Presiden atau Bendahari UMNO bersikap ‘selamba sahaja’ dan tidak pernah bertanya berapa wang yang telah dibelanjakannya.
Beliau menambah, sikap itu berterusan sehingga kini di mana jentera Jalinan Rakyat (JR) UMNO diminta berkhidmat tanpa sebarang bantuan kewangan.
“Suruh JR buat kerja, nak ke sana ke mari, kena adalah jugak duit minyaknya,” katanya.
Leave a Reply