Rahmat Ariffin

Remaja buat laporan palsu elak didenda JPN

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TINDAKAN seorang remaja wanita membuat aduan palsu kononnya kad pengenalannya hilang membawa padah apabila ditahan polis semalam.

Suspek yang berusia 17 tahun ditahan oleh Ketua Balai Polis Nusa Bestari, Iskandar Puteri untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, siasatan mendapati suspek telah memberikan keterangan mencurigakan mengenai kejadian kehilangan kad pengenalannya.

“Suspek kemudian mengaku memberi keterangan palsu dengan tujuan untuk membuat semula kad pengenalan baharu dan bagi mengelak dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kad pengenalan suspek hilang dipercayai akibat tercicir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak membuat laporan palsu untuk kepentingan diri sendiri.

“Polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada bagi mendakwa pelaku,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *