Budak 11 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan

SEORANG kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas selepas dikatakan hanyut dibawa arus deras ldalam kejadian di Jeti Nelayan Bagan Ajam dekat Pantai Bersih, Butterworth, petang tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah, 11, dikatakan hanyut dibawa arus semasa sedang mandi bersama tiga rakannya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth, Mohd. Faizwan Che Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.45 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba, kami dimaklumkan tiga lagi rakan mangsa berjaya diselamatkan orang awam manakala seorang pemancing yang kebetulan berada di lokasi cuba menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, pemancing itu turut lemas dalam kejadian berkenaan sebelum diselamatkan orang awam dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya di sini malam ini.

Menurut beliau, selain bomba, operasi itu turut dibantu oleh pasukan bomba sukarela (PBS) berhampiran serta nelayan dan penduduk setempat.

Dalam pada itu, Mohd. Faizwan berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa bagaimanapun terpaksa dihentikan kira-kira pukul 7.30 malam tadi berikutan cuaca gelap dan tidak mengizinkan.

“Operasi itu bagaimanapun akan diteruskan semula seawal pukul 7 pagi esok,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *