Tedung selar sembunyi belakang periuk

SEBUAH keluarga di Kampung Chatel, Lata Rek, Kuala Krai dikejutkan dengan kehadiran ‘tetamu’ tidak diundang iaitu seekor ular tedung selar sepanjang 3.4 meter yang bersembunyi di belakang periuk di dapur rumahnya, malam tadi.

Kehadiran ular seberat lima kilogram itu disedari pada pukul 7.30 malam oleh salah seorang ahli keluarga semasa berada di dapur.

Zaki Saari, 37, berkata, keluarganya kerap didatangi ‘tetamu’ tersebut namun saiz kali ini dianggap paling besar.

“Rumah kami berhampiran paya, jadi kehadiran ular sudah menjadi kebiasaan tetapi kali ini saiznya besar dan menggerunkan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, tanpa berlengah mereka menghubungi Raja Ular, Hamdan Mahadi yang cukup popular dalam kalangan penduduk di Kuala Krai.

Katanya, langkah itu bagi menangkap reptilia tersebut sekali gus mengelakkan bahaya.

Sementara itu, Hamdan berkata, hanya mengambil masa dua minit untuk menangkap reptilia berbisa tersebut.

Katanya, sepanjang bulan ini sebanyak 37 ekor ular tedung selar berjaya ditangkap olehnya di sekitar Kuala Krai.

“Kesemua ular yang saya tangkap ini dilepaskan ke habitat lebih selamat dan jauh dari kawasan penempatan orang ramai.

“Langkah ini bagi mengelakkan reptilia ini pupus. Nasihat saya jika ada ular di rumah, segeralah hubungi pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Jangan ambil tindakan sendiri kerana ia boleh membahayakan keselamatan,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *