TAKTIK memberi alasan hanya menggaji pekerja sambilan dan menyuruh pekerja segera pulang ketika diserbu penguat kuasa membawa padah kepada 45 majikan apabila dikompaun selepas didapati gagal mendaftar pekerja dan perusahaan mereka dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Pengarah Perkeso Melaka Abd Razak Omar berkata, alasan tersebut tidak boleh diterima memandangkan peraturan sedia ada jelas mewajibkan majikan mencarum walaupun pekerja itu hanya bekerja sehari di premis perniagaannya.
“Begitu juga dengan alasan pekerja mereka belum disahkan jawatan dan terkesan disebabkan pelaksanaan gaji minimum,” katanya pada sidang media selepas Op Gegar Malam lewat malam Jumaat.
Beliau berkata, hasil operasi bermula 3 petang itu melibatkan 168 premis di sekitar kawasan Serkam, Umbai dan Klebang, sebanyak 45 kompaun bernilai RM24,500 dikeluarkan penguat kuasa Perkeso.
Daripada jumlah itu, sebanyak 34 kompaun bernilai RM18,500 dikeluarkan di bawah Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 kerana majikan gagal daftar perusahaan manakala di bawah Seksyen 5 akta sama, 11 kompaun bernilai RM6,000 dikenakan kerana majikan gagal mendaftar pekerja.
“Jika pendakwaan dilakukan, mereka boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara dua tahun,” katanya.
Beliau berkata, tumpuan operasi kali ini adalah melibatkan perusahaan atau perniagaan yang dijalankan pada waktu malam terutama kedai makan, restoran dan kedai serbaneka.
“Ini adalah operasi pertama bagi tahun ini dan akan terus dilakukan dari semasa ke semasa dan kita anggap op malam ini sebagai warm up (gerakan pemanas) untuk memberi peringatan kepada majikan yang masih gagal mencarum dan mendaftar pekerja mereka.
“Suka diingatkan pada semua industri sama ada beroperasai siang atau malam, Perkeso akan memastikan tiada majikan terlepas daripada tanggungjawab mencarum pekerjanya kerana ini adalah berkaitan keselamatan sosial,” katanya.
Sementara itu, Abd Razak berkata dari Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 25 majikan telah didakwa di mahkamah manakala sepanjang 2021, Perkeso Melaka telah menjalankan 99 kes pendakwaan melibatkan pelbagai kesalahan.
Katanya, pihak Perkeso Melaka juga telah mengambil tindakan ke atas majikan yang gagal melaporkan kemalangan dalam tempoh ditetapkan kepada agensi tersebut. – Bernama
Leave a Reply