SATU kegiatan sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah berjaya dibongkar pihak polis selepas menahan tujuh individu termasuk tiga wanita di sebuah premis di Jalan Cahaya, Taman Cahaya, Kangar, Rabu lalu.
Pihak polis menahan suspek berusia antara 19 hingga 35 tahun itu pada pukul 5.40 petang selepas menerima maklumat bahawa premis yang menjual alatan komunikasi disyaki menjalankan aktiviti judi dalam talian.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, serbuan polis di premis itu bagaimanapun mendapati tiada aktiviti berkenaan dijalankan.
“Namun pemeriksaan selanjutnya ke atas peralatan komputer, mesin, pelbagai jenis kad SIM prabayar dan peralatan ‘SIM box’ atau ‘SIM card multiplexer’ jenis GSM Getaway membongkar kegiatan sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah.
“Hasil soal siasat mendapati premis berkenaan menjalankan kegiatan sindiket penipuan pendaftaran kad SIM prabayar secara tidak sah dengan modus operandi, suspek akan membeli kad SIM prabayar kosong daripada syarikat telekomunikasi yang sah secara pukal.
“Menerusi kad SIM prabayar kosong ini, suspek akan menggodam untuk memperoleh senarai data peribadi orang lain yang mana data peribadi warga tempatan dan asing yang sebelum ini didaftarkan untuk sesuatu talian telefon itu kemudian akan dimasukkan dalam kad SIM prabayar kosong ini,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, hari ini.
Katanya, selepas itu, sindiket berkenaan menjualnya kad SIM prabayar yang sudah mempunyai data peribadi orang lain kepada sindiket lain yang menjalankan kegiatan jenayah komersil seperti penipuan dalam talian, Macau Scam dan bermacam lagi jenayah penipuan dalam talian.
Dalam serbuan itu juga pihaknya merampas peralatan yang digunakan oleh sindiket itu seperti 29 komputer termasuk skrin dan unit pemprosesan pusat (CPU), 13 papan kekunci komputer dan sebuah pemacu pena.
“Selain itu, kita turut merampas 51 Sim Box (Sim Card Multiplexer) jenis GSM Gateway, 13 tetikus, sebuah wifi modem dan 3,084 kad SIM prabayar kosong dari syarikat telekomunikasi yang mana rampasan dianggarkan sebanyak RM130,000.
“Sindiket ini dilihat menggunakan perniagaan menjual peralatan komunikasi dan kad SIM prabayar untuk mengaburi kegiatan jenayah dan jika diteliti juga kad SIM prabayar yang sudah mempunyai data peribadi orang lain ini tidak dijual kepada orang awam sebaliknya dijual kepada sindiket lain.
“Berdasarkan pemeriksaan, kita juga mendapati syarikat ini sudah didaftarkan pada 2019 namun kegiatan ini dipercayai mula dilakukan pada awal tahun ini dan siasatan lanjut akan dirujuk kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan berapa ramai mangsa yang sudah digunakan data peribadinya untuk kegiatan ini serta bagaimana data peribadi orang awam ini digodam dan diperolehi,” katanya.
Suspek termasuk ketua sindiket berkenaan yang berusia 35 tahun itu kini direman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan Seksyen 239 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana memiliki kelengkapan atau peranti tidak standard.
Orang ramai diminta membantu polis dengan menyalur maklumat aktiviti jenayah komersil melalui saluran ‘CCID Scam Response Centre menerusi talian 03-26101559/ 03-26101599 atau melalui aplikasi WhatsApp CCID Infoline menerusi talian 013-2111222 atau menghubungi balai polis yang berhampiran.
Leave a Reply