Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
AHLI Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyampaikan sumbangan 78 ekor lembu untuk ibadah korban yang akan diagih-agihkan kepada surau dan masjid di sekitar Pagoh.
Bekas Perdana Menteri itu sebelum itu turut menyertai bakal jemaah haji yang terpilih dalam majlis tahlil dan doa selamat bagi mendoakan kesejahteraan mereka sepanjang menunaikan ibadah tersebut.
“Saya turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada mereka yang akan berangkat ke Tanah Suci tidak lama lagi.
“Marilah kita sama-sama mendoakan agar mereka diberi kesihatan sepanjang berada di sana dan dapat menunaikan Rukun Islam Kelima itu dengan sempurna dan diberikan Allah haji yang mabrur. Insya-Allah,” katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) turut meluangkan masa menghadiri beberapa program masyarakat di Pagoh.
Pada sebelah pagi, beliau menyantuni murid dan ibu bapa Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Bukit Pasir dalam program Jalinan Mesra Komuniti Parlimen Pagoh.
Menuruntnya, beberapa aktiviti disusun dalam program itu antaranya Peraduan Melukis dan Mewarna serta Demonstrasi Robotik oleh pelajar SK Bukit Rahmat selain pertandingan bola sepak, bola jaring dan kriket.
“Saya kagum dengan bakat dan kreativiti para peserta yang mengambil bahagian dalam demonstrasi robot walaupun kebanyakan mereka masih di bangku sekolah,” katanya.
Beliau berharap kreativiti itu dapat diteruskan apabila mereka melanjutkan pengajian ke universiti atau memasuki alam pekerjaan nanti.
Selain itu, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut menyertai penduduk Kampung Paya Panjang bersolat Jumaat di Masjid As- Syakur sebelum makan tengah hari bersama-sama kepimpinan Bersatu Bahagian Pagoh termasuk srikandi dan armada.
Leave a Reply