POLIS memberkas sekumpulan pencuri kabel Telekom Malaysia Bhd (TM) yang menyamar sebagai kontraktor syarikat bagi menjalankan kegiatan mereka di Kuala Pilah, Jempol, Port Dickson dan Seremban kebelakangan ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Amran Mohd. Ghani berkata, enam suspek termasuk dua wanita dipercayai telah mula bergerak aktif di Kuala Pilah sejak awal tahun ini.
“Modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan identiti sebagai kontraktor TM dengan memakai jaket dan topi keselamatan serta permit kerja palsu bagi mengaburi orang awam dan pihak berkuasa semasa menjalankan kegiatan mencuri kabel.
“Kumpulan ini juga memilih lokasi terpencil dan kurang tumpuan orang awam sebagai lokasi untuk mencuri kabel,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini, lapor Sinar Harian.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, kabel yang kendur dan mudah dicapai menjadi sasaran kumpulan ini kerana lebih menjimatkan masa.
Jelasnya, kabel yang dicuri akan dijual ke premis besi buruk dan individu perseorangan dengan kadar RM25 hingga RM29 sekilogram.
“Polis turut merampas beberapa barangan antaranya dua buah kereta, dua bilah pemotong kabel, dua vest keselamatan, telefon bimbit dan kabel anggaran berat melebihi 1 tan.
“Jumlah rampasan kabel setakat ini dianggarkan bernilai RM35,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.
Amran berkata, setakat ini polis telah berjaya memperoleh semula sejumlah besar kabel TM yang dicuri melalui beberapa siri serbuan di sekitar empat daerah berkenaan.
Leave a Reply