SEORANG lelaki ditemukan mati tersangkut pada sebatang pokok kelapa di FELDA Aring Satu, Gua Musang, pagi tadi.
Ketika ditemui pada pukul 8.45 pagi tadi,mayat Zaharuddin Ramli, 47, dalam keadaan tersangkut pada pokok kelapa pada ketinggian 12 meter.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor, pihaknya menerima aduan pada pukul 8.45 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi.
Katanya, sejurus tiba, anggota mendapati seorang lelaki yang tidak sedarkan diri berada dalam keadaan tersangkut pada sebatang pokok kelapa.
“Anggota bomba terpaksa menggunakan tangga untuk memanjat pokok sebelum menurunkan mangsa pada ketinggian 12 meter menggunakan kaedah sambungan tali,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pegawai perubatan untuk tindakan seterusnya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada pukul 11.40 pagi,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Leave a Reply