KERAJAAN menaruh keyakinan bahawa bekalan ayam dalam negara masih stabil, mencukupi dan diagihkan mengikut keperluan pasaran semasa.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, hasil pemerhatian pihaknya sejak tiga hingga empat minggu lalu, tiada aduan berhubung isu gangguan bekalan ayam sama ada di peringkat pasar raya atau pasar tani.
Bagaimanapun katanya, walaupun stabil namun berlaku kenaikan kos input yang dialami semua negara.
Justeru katanya, kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian subsidi selepas membuat keputusan menghentikan pemberiannya kepada pihak industri akhir bulan ini.
“Pemberian subsidi kepada pihak industri sebelum ini akan diganti dengan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar B40 secara langsung,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, Negeri Terengganu di Dataran Pekan Jabi, Besut, hari ini.
Hadir merasmikan majlis, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ronald berkata, pihaknya pada tahun ini memperuntukkan lebih RM43.5 juta bagi merancakkan lagi sektor pertanian Terengganu sekali gus memajukan industri agromakanan di negeri ini.
“Peruntukan itu disalurkan kepada kerajaan negeri melalui pelbagai jabatan dan agensi di bawah Mafi bagi pelaksanaan pelbagai projek, program dan inisiatif merentasi semua subsektor termasuk padi dan beras, perikanan, tanaman dan ternakan,” katanya.
Beliau berkata, isu jaminan bekalan makanan negara antara isu yang di pandang serius dan kerajaan bersedia untuk menghadapi sebarang gangguan dalam rantaian makanan sama ada jangka pendek atau panjang.
“Isu inflasi makanan yang dialami negara merupakan fenomena global dan negara kita juga tidak terkecuali.
“Kita juga tidak berdepan masalah bekalan ikan dan faktor turun naik harga ikan ditentukan berdasarkan faktor penawaran serta permintaan pasaran,” jelas beliau.
Leave a Reply