RESTORAN Terapung Jumbo, destinasi menjamu selera terbesar di dunia, karam di Laut China Selatan beberapa hari selepas ia ditunda dari pelabuhan Hong Kong setelah hampir setengah abad berlabuh di situ.
Restoran terapung tiga tingkat setinggi 260 kaki itu mempunyai rekaan unik seperti sebuah istana empayar China, berlabuh di pelabuhan Aberdeen Hong Kong selama 46 tahun sebelum ditunda minggu lalu, menurut United Press International (UPI).
Pemiliknya, yang menutup restoran itu semasa pandemik COVID-19 pada 2020 selepas menanggung kerugian terkumpul lebih AS$13 juta, berkata mereka sangat sedih dengan insiden itu.
Menurut syarikat induk Jumbo King bot itu terbalik pada Sabtu selepas berdepan keadaan buruk berhampiran Kepulauan Parcel dan tenggelam lebih 3,000 kaki.
Kedalaman air di tempat kejadian melebihi 1,000 meter, menyukarkan kerja-kerja menyelamat, lapor UPI memetik kenyataan Aberdeen Restaurant Enterprises. Tiada anak kapal yang cedera.
Restoran Terapung Jumbo dibuka pada 1976 dan terkenal dengan hiasan tradisional Cina serta hidangan makanan laut istimewa yang menarik pelancong dari seluruh dunia.
Malah restoran itu turut dipaparkan dalam beberapa filem termasuk filem Jackie Chan 1985, The Protector, dan James Bond: The Man with the Golden Gun.
Restoran itu, yang hanya boleh diakses dengan feri kecil, juga pernah dikunjungi Ratu Elizabeth II, Jimmy Carter dan Tom Cruise.
Selepas ditutup pada 2020, beberapa pelabur menarik diri daripada usaha menyelamatkan struktur ikonik restoran itu kerana kos penyelenggaraannya yang tinggi. – BERNAMA
Leave a Reply