Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
KEPUTUSAN kerajaan menarik subsidi minyak masak botol 3 hingga 5 kilogram (kg) mulai 1 Julai ini ternyata mengundang perasaan marah banyak pihak kerana ia dilaksanakan dalam keadaan ekonomi rakyat masih belum pulih sepenuhnya.
Sungguhpun kerajaan mengatakan ia bagi memastikan bekalan bahan makanan itu stabil dalam pasaran, ia bukanlah justifikasi sewajarnya untuk menarik subsidi bahan keperluan utama dapur itu.
Pertamanya, Malaysia adalah pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia selepas Indonesia tetapi rakyat sendiri sengsara perlu membeli minyak masak dengan harga yang tinggi.
Ketika ini dalam keadaan kerajaan masih memberikan subsidi minyak masak, harga bagi 3 kilogram minyak masak botol ialah kira-kira RM32 manakala bagi minyak masak 5kg, ia mencecah RM50 sebotol. Apabila kerajaan menarik subsidi, maka sudah pasti harga minyak masak tersebut akan meningkat dengan drastik.
Walaupun kerajaan berkata subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram masih diteruskan, ia bukan jaminan ia akan membantu rakyat kerana ia amat sukar diperoleh di pasaran. Minyak masak jenis paket juga sering menjadi buruan peniaga-peniaga yang bergantung sepenuhnya kepada bahan keperluan masakan itu.
Peniaga goreng pisang, peniaga roti canai dan peniaga kecil-kecilan lain sudah pasti tidak mampu untuk menggunakan minyak masak botol dalam masakan mereka.
Adalah amat mengecewakan apabila menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pengguna dan kerajaan khususnya mengambil langkah ‘senang’ mengumumkan penarikan subsidi berbanding mencari solusi untuk meringankan beban rakyat.
Kesusahan rakyat makin bertimpa-timpa apabila pada bulan hadapan harga ayam boleh mencecah RM15 sekilogram selepas skim harga maksimum runcit bahan mentah itu tamat akhir bulan ini. Dengan kenaikan harga ayam itu, sudah pasti harga makanan yang berkaitan dengan ayam akan mengalami kenaikan mendadak.
Sudahlah impak bekalan ayam baru-baru ini yang masih belum reda sepenuhnya, kini rakyat terpaksa berhadapan dengan kenaikan ayam yang diramalkan peniaga sebagai paras tertinggi yang pernah direkodkan. Tidak cukup dengan kenaikan dua bahan mentah utama itu, terdapat ura-ura yang mengatakan tarif elektrik akan dinaikkan kerana kos penjanaan elektrik yang meningkat mendadak.
Apabila ahli ekonomi mula memberi pandangan bahawa tarif itu terpaksa dinaikkan, maka ia adalah signal bahawa rakyat perlu bersedia dengan kenaikan tarif elektrik. Ayat-ayat yang selalu kita dengar golongan bersasar akan terus dibantu dan kenaikan tidak membebankan adalah ‘jaminan’ yang tidak akan melegakan rakyat.
Golongan pertengahan yang sering tercicir akan terus tercicir kerana sering dianggap tidak terkesan tetapi sebenarnya mereka amat memerlukan bantuan ketika ini.
Berbalik kepada ura-ura kenaikan tarif elektrik, apabila ia dilaksanakan kelak, sudah pasti rakyat terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang yang lain.
Seperti yang kita sedia maklum, apabila pihak industri terpaksa membayar harga yang tinggi untuk bil elektrik, mereka akan memindahkan kos tersebut kepada pengguna akhir iaitu rakyat. Maka, seperti biasa rakyat terpaksa berhadapan dengan pelbagai jenis kenaikan harga barang.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3.86 bilion pada 31 Disember tahun lalu sepatutnya menangguhkan dahulu kenaikan pada ketika ini kerana jika dilaksanakan juga, sudah pasti memberi kesan berganda kepada rakyat.
Lagipun sebagai syarikat monopoli, tiada istilah rugi dicatatkan oleh syarikat gergasi tersebut melainkan pada sesetengah keadaan, ia hanya mencatatkan pengurangan keuntungan.
Oleh itu, kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam setiap tindakan yang melibatkan kos sara hidup rakyat kerana ketika ini rakyat sudah cukup terkesan dengan apa yang berlaku.
*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.
Leave a Reply