Oleh RIZQI ZABIDI
SELEPAS bertegas tidak memperbaharui lesen judi, kerajaan negeri Kedah bakal pula mengumumkan beberapa langkah bagi mengekang kegiatan maksiat yang diketahui umum membawa kesan mudarat kepada masyarakat.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu penting bagi memastikan Kedah menjadi negeri yang selamat dan sejahtera.
Katanya, langkah itu juga selari dengan slogan diperkenalkan di negeri ini iaitu ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’.
“Langkah ke arah itu akan diperkenalkan kemudian dari semasa ke semasa.
“Pengumuman itu nanti bakal seiring dengan usaha kita untuk mengekang kegiatan judi dengan tidak lagi memperbaharui lesen judi di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Anugerah Jejak Murabbi Ummah Sekolah Menengah Agama Yayasan Khairiah, Kupang, hari ini.
Sementara itu Muhammad Sanusi memaklumkan, setakat ini tiada mana-mana pemilik premis judi yang membuat rayuan kepada pihaknya berhubung perkara itu.
“Kalau ada yang nak merayu atau nak datang berjumpa sekali pun, saya tak mahu jumpa,” katanya.
Dalam pada itu Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan negeri sentiasa memantau individu atau penceramah yang cuba membawa aliran bercanggah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
“Begitu pun keadaan di Kedah ini terkawal kerana kita ada ramai ulama ‘senior’. Kalangan ulama serta guru-guru pondok banyak membuat pengajian kitab-kitab dan konsep belajar secara berguru.
“Kita tak ada guru agama yang lahir dari media sosial. Kita akan terus berpegang kepada ASWJ dan tidak menerima aliran selain dari itu,” katanya.
Leave a Reply