SELEPAS tertangguh dua tahun akibat pandemik COVID-19, jemaah haji Malaysia yang dipilih sebagai duyufurrahman atau tetamu Allah pada musim haji kali ini bersyukur dapat beribadah dengan selesa kerana keadaan di Tanah Suci tidak terlalu padat.
Ia berikutan keputusan kerajaan Arab Saudi yang membenarkan hanya sejuta jemaah mengerjakan haji bagi musim 1443H/2022 selain perlu melepasi pelbagai prosedur kesihatan dan saringan COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelum berangkat.
Bagi jemaah yang terpilih pada musim haji kali ini, mereka adalah insan istimewa apatah lagi ada antara mereka yang berpeluang hadir bersama ahli keluarga dan adik-beradik.
Perasaan teruja itu dikongsi oleh Ahmad Huzaifah Usoh @ Yusoff, 35, yang berkata beliau berangkat ke Tanah Suci bersama empat beradik dan tiga daripada mereka membawa pasangan iaitu isterinya Nur Syazana Mohd Zahir, 33, kakak Marhamah, 40, bersama suami Wan Aziman Wan Ramli, 53, adik Ahmad Hassan, 28, (isteri Hamidah Mokhtar, 24) manakala abang Ahmad Zuhriy, 44, datang tanpa pasangan.
Pegawai Dietetik yang berasal dari Terengganu itu berkata mereka menerima tawaran haji pada tahun 2020 namun tertangguh akibat pandemik.
“Sepatutnya adik-beradik kami sembilan orang yang datang, itu belum masuk lagi pasangan mereka tetapi lima daripada kami (adik-beradik) terpaksa menolak kerana pelbagai kekangan.
“Kami sembilan beradik mendaftar selepas bapa meninggal dunia pada 2008 atas saranan ibu, memang jadi impian ibu untuk kami ke Tanah Suci bersama-sama,” katanya ketika ditemui pemberita di hotel Land Premium, yang menempatkan 4,400 jemaah haji Malaysia.
Sementara itu, Muhammad Amnan Mohd Amin, 38, berkata beliau bersama dua lagi adiknya bertuah kerana ibu bapa mereka telah mendaftar sejak kecil dan ia lebih bermakna apabila keakraban mereka di tanah air menjadi pengikat hingga ke Tanah Suci.
“Saya bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga yang memetingkan agama dalam semua hal. Usaha yang dibuat ibu bapa akhirnya dimakbul Allah. Sangat terharu dan saya rasa ramai yang terpilih kali ini adalah yang istimewa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, tinjauan di sekitar Arafah dan Mina didapati kerja-kerja membaik pulih sedang giat dilakukan bagi memastikan keselesaan jemaah apabila tiba Hari Wukuf.
Kemudahan tandas, khemah dan sistem penyaman udara antara yang diberi perhatian kerajaan Arab Saudi, selain bekalan air bersih di kawasan penempatan jemaah.
Hari Arafah atau Hari Wukuf merupakan kemuncak ibadah haji dan pada tahun ini yang akan menyaksikan seramai 14,306 jemaah haji Malaysia berhimpun untuk berdoa dan memohon keampunan Allah SWT.
*Ikuti perkembangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci melalui media sosial Lembaga Tabung Haji Facebook, Instagram dan Tik Tok.
–– BERNAMA
Leave a Reply