Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
BEROPERASI dari kondominium mewah untuk tawar pinjaman wang tidak wujud menerusi media sosial seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp.
Bagaimanapun, sindiket itu yang menyewa unit kondominium mewah di Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang sejak empat bulan lalu berjaya ditumpaskan dalam serbuan Rabu lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, seramai 13 individu warga tempatan iaitu sembilan lelaki dan empat wanita berusia antara 19 hingga 30 tahun yang dipercayai ahli sindiket terbabit turut ditahan.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain, sindiket itu berjaya dibongkar hasil maklumat awam dan risikan polis berhubung kegiatan jenayah khianat seperti simbah cat, ugutan jenayah dan ah long.
Bagaimanapun jelas beliau, siasatan lanjut mendapati sindiket itu turut menjalankan kegiatan memberi pinjaman tidak wujud dengan mengenakan yuran pemprosesan kepada mangsa.
“Sindiket akan menghubungi mangsa yang tertarik dengan iklan pinjaman di media sosial sebelum memperdayakan mereka dengan meminta sejumlah bayaran sebagai yuran pemprosesan.
“Hasil semakan setakat ini mendapati sebanyak 132 laporan polis diterima berkaitan aktiviti kumpulan ini membabitkan kerugian RM1.914 juta yang melibatkan kes di seluruh negara dengan enam daripadanya dilaporkan di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, sindiket itu menjalankan kegiatan terbabit di Pulau Pinang sejak tahun lalu dan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain bagi mengelak dikesan piyak berkuasa.
Jelas beliau, dalam serbuan di unit kondominium itu, polis turut merampas sebanyak 27 unit telefon bimbit, komputer riba, sebuah kereta dan 10 buah nota tercatat nombor telefon serta nombor akaun mangsa.
“Siasatan lanjut juga mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Mereka kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 dan 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply