Remaja lemas ditemukan mayatnya terapung selepas 3 hari hilang

SEORANG remaja yang hilang semasa mandi sungai sejak tiga hari lalu, ditemukan mayatnya di Sungai Moyog, Penampang, hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu menemukan mayat tersebut yang merupakan mangsa kedua lemas di Sungai Moyog pukul 11 pagi tadi.

Mayat Tomansi Olaf, 17, ditemukan dalam keadaan terapung oleh pasukan bomba dan orang awam yang turut terlibat dalam SAR itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tingalan berkata, operasi itu melibatkan pelbagai unit bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan Unit K9 dengan menggunakan anjing pengesan.

“Operasi SAR dimulakan pada pukul 9 pagi tadi dan pencarian dilakukan di sekitar pesisir sungai menggunakan bot bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan orang awam.

“Mangsa kemudian ditemukan di Sungai Moyog iaitu kira-kira 300 meter dari pos kawalan kedua pasukan bomba.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

Katanya lagi, dengan penemuan kedua-dua mangsa lemas termasuk Harold Walter, 17, semalam menamatkan operasi SAR yang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Sebelum itu, media melaporkan, dua remaja dikhuatiri lemas manakala empat lagi rakan mereka yang terperangkap ketika melakukan aktiviti mandi sungai di Kampung Pogunon berjaya diselamatkan pasukan bomba pada Sabtu lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *