Peruntukan persekutuan Selangor, Pulau Pinang tak adil

WAKIL rakyat di Selangor dan Pulau Pinang menyuarakan kekesalan mengenai peruntukan Persekutuan tidak adil untuk negeri mereka, yang merupakan antara penyumbang tertinggi hasil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Pulau Pinang, Gooi Hsiao Leung berkata, banyak negeri turut berkongsi rasa tidak puas hati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar baru-baru ini berhubung peruntukan persekutuan.

“Setiap negeri harus mempunyai bahagian sokongan kewangan yang saksama untuk membangun mengikut aspirasi sendiri, tanpa disekat oleh kerajaan Persekutuan, tidak kira parti mana yang berkuasa,” katanya, lapor FMT.

Gooi yang mewakili kawasan Bukit Tengah berkata, satu laporan oleh Institut Pulau Pinang menunjukkan negeri itu menyumbang RM5.7 bilion hasil cukai kepada kerajaan Persekutuan pada 2013 tetapi hanya menerima RM162.7 juta daripada Putrajaya.

Katanya, tidak termasuk geran kapitasi, angka itu hanya 2.85 peratus daripada hasil yang dijana oleh negeri itu.

Sementara ADUN Kinrara di Selangor, Ng Sze Han berkata, negeri itu tidak menerima peruntukan yang adil walaupun menjadi penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Katanya, Selangor mempunyai jumlah populasi terbesar dalam kalangan semua negeri dan rakyatnya bekerja keras untuk membayar cukai yang kebanyakannya disalurkan kepada kerajaan Persekutuan.

“Ada ruang untuk kerajaan Persekutuan mengagihkan lebih banyak peruntukan untuk Selangor seperti projek tebatan banjir dan pengurusan sisa.”

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, hampir setiap negeri mengadu mengenai peruntukan daripada Persekutuan yang tidak adil itu.

“Sumbangan Selangor amat besar tetapi apa yang diberikan kembali amat sedikit,” katanya selain menambah bahawa pelabuhan di Klang sahaja merupakan sumber pendapatan yang besar.

Katanya, banyak projek seperti menaik taraf jalan di Pelabuhan Klang mengalami kesukaran kerana kekurangan wang.

Beliau mencadangkan agar tiga lapisan cukai diwujudkan antara pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri dan Persekutuan.

Bagaimanapun katanya, sistem cukai perlu dirombak.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *