YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sedang menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur kerana gering di bahagian kaki.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, walau bagaimanapun, kesihatan Al-Sultan Abdullah secara amnya dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan.
Sehubungan itu, Ahmad Fadil berkata, semua program dalam masa terdekat yang melibatkan keberangkatan Seri Paduka ditangguhkan ke tarikh yang akan diumumkan kelak.
“Seri Paduka dijadualkan berangkat pulang bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Fadil berkata, rakyat diseru bersama-sama mendoakan semoga Seri Paduka dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan. – BERNAMA
Leave a Reply