HAH? Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) berhasrat menubuhkan parti Keluarga Felda SeMalaysia? Biar betul… rungut beberapa orang rakan penulis dan juga pemerhati politik apabila tokoh korporat, Tan Sri Rozali Ismail yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings menyuarakan perkara itu Rabu lalu.
Menurut Rozali, parti yang dicadangkan itu lebih kepada parti buruh disebabkan majoriti penduduk Felda adalah golongan buruh dan penubuhannya bermatlamat untuk membela generasi buruh yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana.
Beliau seterusnya akan membawa usul tersebut ke majlis tertinggi pengurusan GWGF minggu hadapan untuk diteliti oleh 17 persatuan.
Bagaimanapun hasrat itu dibantah Pengerusi Pertubuhan Satu Silaturahim Anak Felda (1SAF), Mohammad Yahya Zakaria yang menyifatkan tiada keperluan menubuhkan parti politik baharu mewakili peneroka FELDA, sebaliknya wakil rakyat di kawasan berkenaan boleh memainkan peranan mewakili suara peneroka.
Katanya, setiap wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen turut mewakili suara penduduk di FELDA dan ada isu yang dibawa ke sidang Parlimen.
Begitulah betapa hebatnya orang Malaysia, sentiasa meletakkan soal politik berada di hadapan.
Sebenarnya penulis sendiri kurang bersetuju dengan ‘lambakan’ parti-parti politik di Malaysia sejak kebelakangan ini.
Penubuhannya umpama peniaga ‘pakaian bundle’ di pasar malam.
Bagi penulis, setiap kali muncul atau tertubuhnya parti politik baharu, ia menyebabkan rakyat serta pengundi berada di persimpangan dilema.
Malah, pada hari pengundian nanti, mereka akan menjadi serba salah untuk memilih calon dan parti yang benar-benar layak, semuanya dikatakan berjuang untuk rakyat, tiada satu parti pun dikatakan berjuang untuk pemimpin atau diri sendiri.
Penulis ingin bertanya apakah rasionalnya penubuhan banyak parti politik baharu di negara ini.
Adakah ia bertujuan untuk membela dan berjuang untuk rakyat atau sebaliknya.
Apa yang dapat dikutip, lafaz kata kebanyakan pemimpin parti yang ingin menubuhkan parti baharu begitulah…ungkapan yang retorik dan penuh berapi.
Semuanya kerana rakyat, bukan kemahuan sendiri…
Sekiranya GWGF diluluskan pendaftaran nanti, maka Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan menjadi medan hilang akal kepada pengundi di Malaysia.
Pengundi khususnya orang Melayu yang semakin berserabut dengan politik Malaysia akan terperangkap, mereka semakin bingung, parti manakah yang bakal dipilih.
Walaupun Malaysia sebuah negara demokrasi, namun biarlah demokrasi itu diletakkan dalam erti kata sebenar bukan hanya sekadar suatu ungkapan.
Hasrat menjadikan GWGF sebagai parti politik sebenarnya kurang relevan dan kurang sesuai sekali gus ia boleh menjadikan proses demokrasi di negara ini sebagai ‘caca marba’.
Tindakan itu tidak salah, tetapi wajarkah perkara ini berlaku sedangkan rakyat hanya memerlukan seorang prmimpin yang benar-benar bertanggungjawab bagi membela nasib dan masa depan mereka?
Kita mesti ingat bahawa parti politik dan pilihan raya bukan suatu pentas untuk mempopularkan diri, sebaliknya ia merupakan ruang bagi rakyat ‘mencari’ dan memilih pemimpin yang mampu mewakili suara rakyat.
Sehubungan itu, mana-mana pihak di negara ini tidak seharusnya melihat penubuhan parti politik serta proses pilihanraya sebagai pentas untuk berseronok dan ‘main main’ sehingga ada yang sanggup membuat percaturan di luar dugaan.
Kita mestilah menjadikan pilihan raya sebagai suatu perkara amat serius, bukan juga tempat untuk menguji dan diuji kerana setiap pengiraan undi itu terlalu bermakna bagi menentukan hala tuju dan masa depan rakyat.
Kalau dilihat kepada senarai parti-parti yang sudah wujud di negara ini, sudah tentu ia menimbulkan pelbagai persoalan, sekaligus menyukarkan pengundi untuk membuat pilihan pada PRU-15 nanti, ini belum termasuk senarai calon-calon mewakili parti Bebas.
Sekiranya rakyat tersalah membuat percaturan dan bersikap ‘tidak mengapa’ kerana ingin mengubah selera, maka tidak mustahil ulangan keputusan PRU-10 bakal bertandang.
Perkembangan ini bukan sahaja akan merugikan diri sendiri, tetapi juga melibatkan masa depan generasi akan datang dan negara.
Bayangkanlah jika calon dan parti yang dipilih itu tidak mempunyai latar belakang politik, akademik dan langsung tiada idea dalam melaksanakan perancangan rakyat untuk tempoh jangka masa panjang.
Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Pendaftaran pertubuhan (ROS) seharuslah menilai semula beberapa peraturan dan syarat membabitkan calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya dan juga fungsi penubuhan parti politik baharu di negara ini.
Bagi calon, antara peraturan dan syarat ialah daripada segi usia, kelayakan akademik dan kesihatan.
Perkara ini perlu ditekankan kerana sebelum ini ada calon yang tidak tahu membaca dan menulis serta melewati usia turut dibenarkan bertanding.
Bagaimana perasaan kita sebagai rakyat Malaysia sekiranya tanpa diduga calon katagori ini tiba-tiba menang dalam pilihan raya dan layak menduduki sama ada kerusi parlimen atau DUN?
Begitu juga dariapda segi penubuhan parti politik juga perlu diketatkan peraturan agar ia tidak tertubuh berdasarkan wakil komuniti tertentu semata-mata.
Jangan terkejut sekiranya selepas ini muncul pula parti politik mewakili nelayan, petani, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), maka jadilah ia sebagai parti ‘cacamarba’ umpama pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia.
Barangkali pandangan ini dilihat sedikit ‘nakal’ namun ia tidak mustahil boleh berlaku…
Leave a Reply