Penjara baharu terbesar di Kelantan elak banduan sesak di Zon Timur

PEMBINAAN penjara baharu yang mampu memuatkan seramai 3,000 penghuni di negeri ini dijangka siap sepenuhnya pada 2027.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, mengikut perancangan lokasi yang dipilih adalah di Ketereh selain bakal menjadi penjara terbesar dan moden di Kelantan.

Katanya, proses untuk menyelesaikan isu tanah sedang dilakukan sebelum pembinaan dilaksanakan pada hujung tahun hadapan dan dijangka mengambil masa selama beberapa tahun untuk disiapkan sepenuhnya.

Beliau berkata, pelaksanaan cadangan terbabit selaras dengan keperluan pemulihan banduan dan pengkategorian penjara di samping mengurangkan kesesakan yang sedia ada di penjara Zon Timur.

Oleh itu ujarnya, pertambahan anggota dan kakitangan di Jabatan Penjara Malaysia juga akan dilakukan bagi menampung keperluan petugas di lokasi baharu bagi memastikan pengurusan penjara sentiasa terkawal.

“Selain di Kelantan, beberapa negeri lain turut menerima pembangunan sama dalam pembinaan penjara baharu termasuk di Lahad Datu, Sabah yang bakal siap sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Peringkat Zon Timur di Kompleks Kota Darul Naim, di Kota Bharu Kelantan, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan), Abd. Kadir Rais dan Pengarah Pengurusan Banduan, Ajidin Salleh.

Mohd. Sayuthi berkata, pembinaan penjara baharu untuk memberi fasiliti lebih baik kepada kedua-dua pihak tidak kira untuk anggota atau pegawai bertugas mahupun banduan.

“Tambahan pula, umum mengetahui banyak penjara di Malaysia yang sudah lama dan perlu penambahbaikan. Kerajaan sentiasa menaruh kepercayaan tinggi kepada Jabatan Penjara Malaysia dalam memberikan khidmat bakti mengawal serta memulihkan penghuni,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *