TUN Dr. Mahathir Mohamad mendakwa terdapat pihak yang lebih tinggi daripada undang-undang Malaysia dan tidak akan dikenakan tindakan.
Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, Malaysia merupakan negara yang mempunyai undang-undang dan semua pihak tertakluk di bawahnya termasuk sekiranya wujud usaha untuk mengeluarkan mana-mana negeri dari negara ini.
Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Langkawi itu, undang-undang berkenaan ‘mungkin tidak terpakai terhadap pihak yang kedudukannya jauh lebih tinggi’.
“Sesiapa yang cuba untuk withdraw (keluarkan negeri) dari Malaysia itu adalah satu jenayah, tetapi kita ada orang yang duduk lebih tinggi daripada undang-undang.
“Apabila orang seperti ini berkata demikian, dia amat serius tetapi tindakan tidak boleh diambil kerana dia tidak tertakluk kepada kepada undang-undang negara kita dan inilah masalah yang kita hadapi sebenarnya.
“Kalau saya sebut tentang nak keluarkan Kedah dari Malaysia saya akan kena tangkap tetapi orang itu bebas dari undang-undang… jenayah tetap jenayah,” katanya ketika sidang media program Aku Melayu di Kuala Lumpur, lapor Astro Awani.
Warta Rakyat pada 16 Jun lalu melaporkan, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyifatkan kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri itu walaupun merupakan penyumbang besar ekonomi negara.
Titah Sultan Ibrahim, Johor pernah menyumbang hasil lebih RM13 billion setiap tahun dan pernah menjadi penyumbang pelaburan terbesar negara sejak tahun 2013 hingga 2018.
Namun baginda sedih dengan tindakan kerajaan Persekutuan yang tidak menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan terhadap infrastruktur-infrastruktur awam terdapat di negeri ini.
“Saya rasa sedih dengan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti HSA (Hospital Sultanah Aminah), HSI (Hospital Sultan Ismail), Kompleks CIQ di BSI (Bangunan Sultan Iskandar) dan juga kemudahan UTC (Pusat Transformasi Bandar) yang perlu dipertingkat dengan sistem penyampaian lebih cekap dan selesa.
“Saya seru kerajaan Persekutuan agar segera tunai janji naik taraf Lebuh Raya Utara Selatan kepada enam lorong dan Lebuh Raya Senai-Desaru kepada empat lorong, juga jalan persekutuan yang rosak dan berlubang, saya rasa seolah-olah Johor dianaktirikan walhal Johor adalah penyumbang utama ekonomi negara.
“Jangan sampai rakyat Johor desak untuk keluar dari Malaysia, mungkin Johor lebih maju jika berdiri atas kaki sendiri,” titah baginda.
Leave a Reply