MASA yang lama terpaksa ditempuh oleh bas-bas pelancongan dari Singapura yang ingin memasuki negara ini melalui Laluan Kedua Malaysia-Johor (Linkedua) dikhuatiri boleh menjejaskan industri pelancongan tempatan.
Presiden Majlis Pemandu Pelancong Malaysia, Jimmy Leong mendakwa, hari ini, bas-bas pelancongan terpaksa menunggu lebih 4 jam mulai pukul 8.30 tadi untuk melepasi pemeriksaan imigresen.
Beliau mendakwa, petugas yang mengawal lalu lintas di lokasi berkenaan memberi keutamaan kepada bas-bas awam tempatan.
“Perkara ini amat membimbangkan dan sukar diterima kerana pelepasan imigresen mengambil masa yang lama dan ia akan memberi kesan kepada industri pelancong.
“Lebih-lebih lagi apabila pelancong yang ingin memasuki Johor terpaksa menghabiskan masa lebih daripada setengah hari untuk mendapatkan pelepasan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Jimmy berharap agar kerajaan negeri Johor sedar tentang situasi tersebut dan memberi perhatian yang serius bagi menangani isu di pintu masuk negara tersebut.
Beliau menambah, pihak berkuasa perlu mencari kaedah yang lebih berkesan untuk menguruskan pelepasan pelancong yang datang ke negara ini untuk berbelanja.
“Setelah sempadan negara dibuka semula, pihak industri perlu memberikan yang terbaik terhadap para pelancong.
“Namun, tanggapan pertama di pintu masuk telah menyebabkan jutaan ringgit yang kami belanjakan untuk promosi dan pemasaran menjadi sia-sia,” jelasnya.
Jimmy berkata, para pelancong sangat kesal dengan masalah yang dihadapi di Linkedua sehingga menyebabkan mereka terpaksa menunggu lama.
“Malah, pemandu pelancong sendiri tidak berani mengucapkan ‘Selamat datang ke Malaysia’ kepada mereka kerana bimbang dengan reaksi negatif yang bakal diterima,” ujarnya.
Leave a Reply