Penyanyi, pelakon terkenal Adibah Noor meninggal dunia

PENYANYI dan pelakon terkenal Adibah Noor Mohamed Omar atau lebih dikenali sebagai Adibah Noor, 51, meninggal dunia di Hospital Gleneagles di sini, pada kira-kira 7.45 malam tadi.

Berita kematian itu disahkan dan dikongsi oleh rakan-rakan artis menerusi media sosial antaranya Datin Emylia Rosnaida Abdul Hamid.

Sementara itu, penyanyi dan pelakon Ani Mayuni atau nama penuhnya Aishah An-Nur Osman ketika dihubungi berkata Adibah pernah memberitahunya bahawa dia menghidap penyakit kanser namun meminta agar perkara itu dirahsiakan.

“Arwah minta jangan hebohkan mengenai dia sedang menanggung kesakitan,” katanya menambah kesihatan arwah semakin merosot selepas menyertai program pertandingan nyanyian Gegar Vaganza (GV).

“Selepas habis GV dan masa nak shooting GV Raya, masa itu Arwah mula demam sekejap sekejap dan lama sangat dia dimasukkan ke dalam wad. Rasa macam pelik kenapa tak keluar (dari hospital)?, ingatkan COVID-19 tetapi bila tanya secara peribadi, baru dapat tahu dia ada kanser dan baru sahaja jalani pembedahan.

“Arwah sedang berpantang, nak berehat dan tak ambil show semua, yang kamu tengok dia muat naik gambar, masa dia dah kurus baru-baru ini, itu adalah shownya yang pertama selepas berehat,” kata Ani yang merupakan bekas peserta GV pada musim sama disertai Adibah Noor.

Sementara itu, Emylia Rosnaida dalam hantaran di laman Facebooknya berasa terkejut dan sedih dengan berita pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang artis yang serba boleh.

Pelakon Dynas Mokhtar turut meluahkan kesedihannya menerusi hantaran di akaun Instagram beliau.

“Saya masih terkejut! KakDip (Adibah Noor) seorang periang, mengambil berat dan mempunyai suara yang merdu. Saya akan merindui awak KakDip. Hilang di mata, tapi di dalam hati jangan,” katanya.

Allahyarhamah Adibah merupakan penyanyi dan penulis lirik lagu hit ‘Terlalu Istimewa’ pada 2005, dicipta khas sebagai penghormatan terhadap tragedi pembunuhan kejam seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa kes jenayah pedofilia.

Pelakon filem Sepet dan Mukhsin itu juga dikenali dalam pelbagai iklan televisyen dan pernah bertugas sebagai penyampai Radio Suria FM.

Sebelum melangkah ke dalam karier seni, penyanyi bersuara lunak itu merupakan guru bahasa Inggeris, penterjemah untuk syarikat korporat dan duta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Sepanjang karier seninya, Adibah pernah memenangi Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Lagu Balada Terbaik dan Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu 2006. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *