dana UKSB

KJ, Reezal, Hishammuddin, Anifah juga perlu nafi terima dana UKSB

Oleh RIZQI ZABIDI

AHLI-AHLI Parlimen dan bekas Ahli Parlimen dari UMNO yang didakwa turut terkait dengan penerimaan dana daripada syarikat pembekal perkhidmatan visa luar negara (VLN), Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), diharap dapat turut membuat penafian berhubung perkara itu seperti dilakukan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, pihaknya menerima baik penafian dibuat Muhyiddin itu dan menyokong semangat keterbukaan beliau untuk disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Bersatu Kedah berharap nama-nama mereka yang disebut terdiri daripada Ahli Parlimen dan bekas Ahli Parlimen dari UMNO iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Datuk Seri Anifah Aman turut membuat penafian sama.

“Bersatu Keedah akan membuat satu laporan kepada SPRM berhubung perkara itu dan mengharapkan satu siasatan telus dan adil dapat dibuat dengan segera,” katanya.

Dalam prosiding kes melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam, saksi pendakwaan ke-17, David Tan menyebut nama Muhyiddin sebagai salah seorang penerima dana berjumlah RM1.3 juta daripada UKSB.

Selain Muhyiddin, nama Khairy, Reezal, Hishammuddin serta Anifah turut dikaitkan dengan dana syarikat berkenaan.

Ahli Parlimen Pagoh itu bagaimanapun bertindak pantas apabila terus mengeluarkan kenyataan menafikan pernah menerima sebarang wang tunai dari UKSB dengan menyifatkan pernyataan tersebut sebagai palsu.

Khairul menambah, Bersatu Kedah memohon ahli parti dan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berdasarkan kenyataan saksi tersebut.

“Selaras dengan kenyataan Presiden Bersatu, harus ditegaskan bahawa Bersatu adalah satu-satunya parti yang meletakkan perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa dalam Perlembagaan parti.

“Hal ini menunjukkan bahawa kita tegas dan serius dalam menentang rasuah serta salah guna kuasa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *