muhyiddin bersatu

Kenapa musuh politik Muhyiddin berpesta?

ANALISIS

MAKA berpestalah juak-juak politik dan musuh politik Muhyiddin Yassin apabila dalam kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi salah seorang saksi mendakwa Muhyiddin antara penerima dana daripada UKSB.

Lanjutan itu konco-konco politik pemimpin tertentu melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas Muhyiddin. Mereka menganggap inilah peluru paling ampuh untuk meranapkan integriti dan kredibiliti Muhyiddin.

Walaupun Muhyiddin telah membuat kenyataan segera menafikan dengan tegas dakwaan tersebut dan menegaskan sedia disiasat oleh SPRM namun semua itu sudah tidak dipedulikan oleh puak-puak berkenaan.

Oleh kerana selama ini mereka berjaya melalui pendekatan politik mengubah yang benar menjadi batil, yang batil itu benar sepertimana mereka lakukan ketika menyingkirkan Muhyiddin dari jawatan Perdana Menteri, kini kaedah yang sama digunakan.

Sasaran mereka ialah cuba mencemarkan nama Muhyiddin habis-habisan dan bukannya untuk menegakkan kebenaran. Kalau mereka berniat demikian sudah pasti serangan juga akan dilakukan ke atas pemimpin-pemimpin UMNO yang disebut dalam perbicaraan. Tetapi itu tidak berlaku kerana sasaran utama mereka ialah Muhyiddin kerana tiada peluru lain untuk menjejaskan pengaruh Ahli Parlimen Pagoh tersebut.

Malah bagi mereka inilah masa terbaik untuk membalas dendam kerana disebabkan keberanian Muhyiddin yang sanggup kehilangan jawatan dalan kerajaan dan parti apabila mempersoalkan isu 1MDB..UMNO kehilangan kuasa dan pemimpinnya kini berhadapan dengan kes-kes mahkamah.

Mereka begitu yakin melalui serangan tersebut ia akan menggugat Muhyiddin sekaligus akan menyeret sana PN dan Bersatu yang dalam dua PRN membuktikan walaupun tidak menang banyak kerusi namun sokongan kepada parti semakin meningkat.

Atas sebab itulah, sebelum nama Muhyiddin disebut di mahkamah dalam kes rasuah Zahid, ‘serangan’ sudah pun dilakukan ke atas Muhyiddin. Apa sahaja beliau lakukan termasuk lah dalam MPN dipertikaikan dan diperkecilkan.

Semua itu hanya satu tujuan iaitu memusnahkan kredibiliti Muhyiddin supaya rakyat tidak menyokong beliau dan PN dalam PRU-15.

Puak-puak UMNO sedar musuh utama mereka bukan PH tetapi Muhyiddin dan PN yang boleh menjadi alternatif kepada pengundi Melayu. Post mortem PRN Melaka dan Johor sudah membuktikan PN menjadi pilihan pengundi yang tidak mahu mengundi UMNO dan menolak PH.

Inilah kebimbangan besar justeru apabila tercetus isu dana UKSB maka berpestalah musuh beliau ibarat 40 penyamun menari dalam gua seperti adegang filem Ali Baba Bujang Lapok. Namun mereka lupa rakyat tidak sebodoh mereka untuk melihat kebenaran.

Ketegasan Muhyiddin menafikan dakwaan tersebut dan dengan tegas juga menyatakan sedia disiasat sudah membuktikan beliau sama sekali tidak takut dengan apa yang diperkatakan. Lagipun kes rasuah itu masih dalam perbicaraan, pihak pendakwa pasti akan bertanya lanjut berhubung kenyataan saksi itu. Jadi biarlah proses mahkamah berjalan.

Tetapi apa yang penting Muhyiddin sedia disiasat namun bagi juak-juak politik termasuk ‘ tentera upahan’ mereka..itu soal kedua..yang penting nama Muhyiddin dan itulah peluru untuk melemparkan tohmahan dan fitnah terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Bagaimanapun penulis percaya serangan politik itu tidak akan ke mana kerana rakyat tahu siapa Muhyiddin berbanding segelintir pemimpin UMNO. Lagipun orang tahu dendam politik UMNO terhadap Muhyiddin.

Cuma satu nak pesan..kalau kita atau orang yang kita sokong berperangai buruk..janganlah ingat orang lain pun sama.. Jadi biarlah polis dan SPRM siasat..apa nak risau geng UMNO pun dah buat laporan polis.

Justeru tenang-tenang sahaja..tak perlu seperti ‘kera kena belacan’ sebab seronok nama Muhyiddin dikaitkan dalam perbicaraan di mahkamah. Muhyiddin bukan seperti kisah MO1..jadi siasatlah.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *