johor had umur minimum

Johor berhak tentukan had umur minimum calon ADUN

JOHOR berhak memutuskan sama ada untuk menurunkan had umur minimum calon pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, autonomi negeri perlu dihormati terutama dalam perkara tertentu yang kerajaan Persekutuan tiada kuasa ke atasnya.

“Untuk negeri bersetuju atau tidak bersetuju (terhadap sesuatu) mereka masih mempunyai autonomi untuk membuat keputusan berdasarkan apa yang mereka mahu.

“Sekiranya Johor tidak akan meluluskan mana-mana undang-undang untuk membenarkan calon mereka bagi DUN dikurangkan kepada umur 18 tahun itu… adalah hak mereka,” katanya kepada pemberita pada Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-15 di Kuching hari ini.

Khamis lepas, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan menjelaskan mengapa baginda belum memberi persetujuan mengenai pindaan Enakmen Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor (Pindaan) untuk menurunkan had umur minimum calon pilihan raya bagi kerusi DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Pada pembukaan rasmi Penggal Persidangan Pertama DUN yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor, Sultan Ibrahim bertitah had umur minimum untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor masih kekal 21 tahun.

Sultan Johor bertitah pada hemat baginda, cadangan menurunkan umur itu tidak selari dengan hala tuju kerajaan yang mahukan pemimpin berkualiti tinggi dan cukup ilmu pengetahuan namun baginda tetap menyokong hak mengundi diberi kepada individu berusia 18 tahun ke atas.

Pada 6 Jan lepas, DUN Johor meluluskan enakmen berkenaan untuk menurunkan had umur minimum calon pilihan raya bagi kerusi DUN daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, di peringkat Persekutuan, umur minimum calon pilihan raya untuk Ahli Parlimen masih 18 tahun dan ini mungkin menimbulkan kekeliruan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama dalam pilihan raya serentak.

“Dalam pilihan raya serentak terdapat senarai calon untuk Parlimen dan DUN, jika anda mempunyai had umur yang berbeza maka kita bimbang wujud kekeliruan oleh petugas SPR yang tidak terlatih dalam mengendalikan pilihan raya.

“SPR perlu bekerja lebih masa untuk melatih pegawai mereka untuk membenarkan dua jenis had umur untuk calon bertanding terutama apabila pilihan raya dijalankan serentak,” katanya. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *