SEORANG bekas komando berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mahkamah mendapati dia bersalah membunuh pasangan suami isteri yang juga jirannya.
Memetik laporan Mirror, Collin Reeves, 35, dibicarakan di Mahkamah Diraja Bristol atas tuduhan membunuh Jennifer dan Stephen Chappel dengan menggunakan pisau istiadat pada 21 November tahun lalu.
Kejadian tersebut berlaku di Norton Fitzwarren dekat Taunton di Somerset, United Kingdom.
Rakaman CCTV menunjukkan Reeves mengeluarkan pisau tersebut dari bingkainya sebelum dia memanjat pagar dan menceroboh rumah jirannya.
Sebaik sahaja masuk ke dalam rumah, dia menikam Jennifer, 33, dan Stephen, 36, sehingga mati.
Semasa kejadian berlaku, anak-anak lelaki pasangan berkenaan yang ketika itu masih kecil sedang tidur.
Reeves dikatakan pernah bertengkar dengan pasangan Chapple mengenai tempat letak kereta pada Mei 2021.
Bekas komando yang pernah berkhidmat dengan Kor Jurutera Diraja UK di Afghanistan itu mengaku dia menikam Jennifer dan Steven.
Walau bagaimanapun, dia tidak mengaku melakukan pembunuhan dan mengaku bersalah atas tuduhan menyebabkan kematian.
Pisau istiadat yang digunakan untuk membunuh pasangan Chapple diterima oleh Reeves semasa dia meninggalkan perkhidmatan tentera.
Juri diberitahu bahawa Reeves berdepan masalah dalam perkahwinannya dan kira-kira 40 minit sebelum pembunuhan berlaku, isterinya, Kayley, meminta cerai.
Pakar psikiatri forensik, Dr Lucy Bacon menyatakan bahawa Reeves mengalami kemurungan tahap sederhana ketika itu.
Walau bagaimanapun, beliay mengesahkan Reeves tidak mengalami simptom stres pascatrauma (PTSD).
Reeves menyertai perkhidmatan tentera pada 2006 dan berjaya melengkapkan latihan komando.
Dia berkhidmat selama 11 tahun dan isterinya memberitahu, sikapnya berubah sejak dia pulang dari Afghanistan.
Mahkamah akan menentukan hukuman yang bakal dijatuhkan terhadap Reeves pada Selasa depan.
Leave a Reply