WARGANET tidak berpuas hati dengan cara untuk menebus tambang percuma selama sebulan bagi perkhidmatan pengangkutan awam kendalian RapidKL dan KTM di Lembah Klang yang diumumkan semalam.
Tambang percuma membabitkan perkhidmatan MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL dan KTM selama sebulan yang bermula semalam itu diberikan sempena pembukaan rasmi MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Ia membabitkan subsidi sebanyak RM155 juta dengan matlamat untuk mengurangkan kesesakan luar biasa yang dihadapi pengguna jalan raya di ibu kota ketika ini.
FMT melaporkan, RapidKL menerusi kenyataan di Facebook semalam berkata, pemegang pas tanpa had bulanan My50 yang masih aktif pada 16 Jun akan diberikan 30 hari percuma untuk pembelian seterusnya apabila tempoh pas tamat.
Katanya, mereka yang membeli pas My50 pada 16 Jun mesti menebus perjalanan percuma 30 hari antara 23 hingga 25 Julai sahaja, iaitu selepas pas semasa tamat tempoh sepenuhnya.
Namun pengendali pengangkutan awam di Lembah Klang itu meminta pengguna menyimpan resit bagi tujuan pengesahan, sekiranya ingin menebus lanjutan tempoh pas.
“Simpan resit untuk pengesahan, tapi jangan bimbang jika resit tidak disimpan, kami akan bantu anda untuk menebus 30 hari percuma ini dengan sebaiknya,” kata RapidKL.
Bagaimanapun ada warganet yang mempertikaikan cara tebusan yang “kabur dan menyusahkan” dengan seorang pengguna Facebook, Misasagi Yuuya mempersoalkan cara tebusan perjalanan percuma yang disifatkannya tidak masuk akal.
“Perlu memuat turun aplikasi MyRapid Pulse untuk mengisi borang tinjauan lagi? Macam mana RapidKL tahu status kad Touch N Go saya untuk nikmati perjalanan percuma itu? Kenapa kami tidak boleh lengkapkan sentuhan masuk dan keluar kad pada setiap perjalanan tanpa tolakan kredit?” soalnya.
Max Lim pula mempersoalkan keperluan menyimpan resit untuk pengesahan sedangkan sistem terkini RapidKL boleh mengesan mana-mana individu yang mempunyai kad aktif.
“Mengapa masih perlu kemukakan resit sedangkan semua info telah tersedia dalam kad aktif?” soalnya.
Warganet, Ken Liew pula hairan kenapa pengguna dikenakan bayaran tambah nilai 50 sen untuk memperbaharui pas mereka.
“Kalau perlu lagi membayar 50 sen untuk mendapatkan pas berkenaan, adakah ia masih dikira perjalanan percuma?” katanya.
Leave a Reply