Tiga lelaki tempatan cuba seludup 1.3 tan ketum ditahan

Oleh RIZQI ZABIDI

TIGA lelaki diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika cuba menyeludup sejumlah 1.3 tan daun ketum, awal pagi ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kesemua mereka ditahan di kedudukan 1.0 batu nautika, barat muara Kuala Kedah kira-kira pukul 2.30 pagi.

Menurutnya, pihaknya terlebih dulu menerima maklumat risikan menyatakan sebuah bot nelayan kelas A disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan, sedang bergerak keluar dari muara Kuala Kedah.

“Berikutan itu bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi untuk melakukan serbuan. Pihak kami kemudiannya berjaya mengesan bot nelayan dimaksudkan pada pukul 2.20 pagi yang bergerak dalam keadaan gelap.

Sebanyak 130 bungkusan plastik hitam berisi daun disyaki ketum dalam bot tersebut.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba memecut namun bot mereka berjaya dipintas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati tiga lelaki tempatan berusia 33 hingga 39 tahun berada dalam bot tersebut.

“Kesemua mereka ditahan bersama 130 bungkusan plastik hitam berisi daun disyaki ketum dalam bot tersebut.

“Siasatan awal mendapati mereka yang berasal dari kawasan berhampiran menerima upah berjumlah RM200 untuk satu trip penghantaran,” katanya.

Sebuah bot nelayan kelas A disyaki menjalankan kegiatan penyeludupan ditahan pihak maritim di muara Kuala Kedah.

Menurutnya, nilai daun ketum tersebut dianggarkan berjumlah RM234,000 manakala bot nelayan kelas A yang dirampas bernilai RM70,000.

“Daun ketum tersebut dipercayai cuba diseludup ke negara jiran berikutan harganya yang jauh lebih tinggi berbanding pasaran tempatan iaitu cuma RM30 sekilogram.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Noor Azreyantu berkata, kes tersebut merupakan tangkapan kedua melibatkan warganegara tempatan dan rampasan keenam bagi Zon Maritim Kuala Kedah pada 2022.

Tiga lelaki tempatan berusia 33 hingga 39 tahun ditahan dalam bot tersebut untuk siasatan

“Walaupun telah banyak rampasan dilakukan, namun kegiatan ini dilihat terus akhtif dilakukan penyeludup bagi mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan lumayan mencecah ribuan ringgit.

“Kami memandang serius isu ini dan akan terus memperhebatkan operasi serta melakukan pemantauan di sempadan serta perairan negara dari semasa ke semasa,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *