SEBUAH lori hilang kawalan dan merempuh dua gerai makan menyebabkan seorang wanita melecur akibat tersimbah sup panas dalam kejadian di Jalan Batu Balai-Chuchoh Puteri dekat Kampung Kenor, Kuala Krai, Kelantan.
Dalam kejadian 5.30 petang semalam, mangsa berusia 31 tahun dikatakan sedang memasak sup di dapur sebelum lori tersebut merempuh gerainya.
Memetik portal FMT, Ketua Polis Kuala Krai, Suzaimi Mohammad, berkata lori dinaiki lelaki berusia 55 tahun bersama anaknya berusia 17 tahun dalam perjalanan dari arah Telekong untuk pulang ke rumah mereka di Batu Balai, Kuala Krai.
Katanya, wanita itu tidak sempat melarikan diri menyebabkan sup panas tertumpah ke badannya.
Pemandu lori dan anaknya cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas dan merempuh dua gerai di Kuala Krai. (Gambar Facebook)
“Mangsa melebur 9% pada badan, manakala pemandu lori luka pada dahi dan terseliuh bahu kiri. Anaknya pula cedera di bahu kanan.
“Semua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra di Kuala Krai untuk rawatan lanjut,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Suzaimi berkata, siasatan mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu lori kerana gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas melanggar dua gerai makan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Leave a Reply