Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT
TINDAKAN seorang suspek pengedar dadah yang cuba meloloskan diri daripada polis dengan memecut kereta dipandunya gagal apabila dia berjaya ditahan dalam operasi di Jalan Besar, Nibong Tebal, Pulau Pinang, Rabu lalu.
Terdahulu, suspek lelaki berusia 36 tahun yang memandu kereta jenis Volkswagen Passat itu memecut laju kenderaannya dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang selepas menyedari diekori polis, namun terbabas ke bahu jalan selepas dikejar kira-kira 200 meter.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd. Shukhairy Abd. Sabhe berkata, pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek menemukan dadah jenis heroin seberat 9.03 kilogram bernilai RM120,000 yang dipercayai untuk diedar kepada pembeli.
Jelas beliau, hasil soal siasat ke atas suspek yang bekerja sebagai nelayan itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Kuala Kurau, Perak kira-kira pukul 4.45 petang yang mana seorang lelaki yang bekerja sebagai penternak ikan berusia 53 tahun berjaya ditahan.
“Serbuan kemudian diteruskan di kawasan awam di Nibong Tebal pada 10.45 malam yang mana seorang lagi suspek yang bekerja sebagai nelayan berusia 34 tahun berjaya ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurut Mohd. Shukhairy, sindiket itu dipercayai mula aktif mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Pulau Pinang dan Kuala Kurau sejak awal Januari lalu.
Ujar beliau, ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methapetamine selain turut mempunyai rekod lampau di bawah kesalahan dadah serta jenayah.
“Selain rampasan dadah, kita turut menyita aset sindiket terdiri daripada wang tunai berjumlah RM50,000 dan sebuah kenderaan bernilai RM80,000,” katanya.
Ujar beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek pertama direman selama tujuh hari bermula 16 Jun hingga 22 Jun manakala dua lagi suspek disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Leave a Reply