Oleh RIZQI ZABIDI
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya terdapat feri penumpang yang terbakar di perairan Langkawi, semalam.
Menurut Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa, klip video memaparkan kejadian itu yang dimuat naik seorang pengguna Facebook bersama dakwaan tersebut sebenarnya adalah insiden yang berlaku pada 2019.
Malah katanya, syarikat pengendali perkhidmatan feri yang terbakar itu juga sudah tidak lagi beroperasi.
“Video tersebut dipercayai sengaja ditularkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan kesan terhadap indusrti pelancongan Langkawi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar dan video lama itu bagi mengelakkan kekeliruan dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Katanya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat mengenai kecemasan di perairan boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan 999.
Leave a Reply