Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, mengingatkan kerajaan Pusat supaya menghormati Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan 1957 yang melibatkan negeri dan Persekutuan.
Titah Sultan Johor, perjanjian yang termaktub antara pusat dan negeri dalam penubuhan Persekutuan Tanah Melayu itu tidak boleh dicabuli dengan sesuka hati.
“Semua pihak mesti ingat kuasa negeri yang termaktub dalam Perjanjian Tanah Melayu, jangan buat keputusan sesuka hati. Saya kecewa dengan keputusan Persekutuan membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada tahun 2018.
“Perdana Menteri ketika itu telah membuat keputusan sendiri dengan mengarahkan Peguam Negara cuti berehat pada ketika Kabinet belum dibentuk. Johor langsung tidak dirujuk sedangkan keputusan itu melibatkan tanah dan kedaulatan Johor. Oleh itu saya mahu kerajaan ambil tindakan tegas terhadap pihak yang langgar kuasa negeri.
“Malah sekiranya kuasa negeri telah dicabuli, maka perjanjian Persekutuan itu boleh dianggap terbatal dengan sendirinya, dan Johor bukan lagi sebahagian dari Persekutuan,” titah baginda.
Sultan Johor bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.
Pada 13 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, kerajaan dijangka menerima laporan berhubung isu dan tindakan perundangan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh, pada Ogos depan.
Bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, pasukan petugas khas dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah mengemuka dan membentangkan laporan interim mereka pada penghujung April lalu.
Dalam perkembangan lain, Sultan Ibrahim mengingatkan bahawa had umur minimum kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukannya 18 tahun sebaliknya kekal 21 tahun.
“Ini kerana pindaan Enakmen yang lalu saya belum beri persetujuan, pada hemat saya cadangan turunkan had umur minimum tersebut adalah tidak selari dengan hala tuju kerajaan yang mahukan pemimpin berkualiti tinggi dan cukup ilmu pengetahuan.
“Namun begitu saya tetap sokong hak mengundi diberi kepada individu berusia 18 tahun keatas, tetapi untuk menjadi ADUN saya rasakan tidak sesuai,” titah baginda.
Leave a Reply