Datuk dalang seludup sindiket subsidi, rampasan lebih RM3 juta

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SATU sindiket menyeludup minyak diesel yang didalangi seorang individu bergelar Datuk berjaya dilumpukah pihak polis selepas melakukan serbuan di sebuah stor di Kawasan Perindustrian Desa Plentong, Masai, Johor Bahru, malam tadi.

Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman bersama-sama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor terlibat serbuan itu.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, menerusi serbuan pada pukul 11 malam itu pihaknya menahan 30 individu terdiri daripada 28 lelaki tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang lelaki warganegara asing berusia antara 22 hingga 46 tahun.

“Sindiket ini yang dipercayai sudah beroperasi sejak lebih seminggu lalu didalangi seorang warga tempatan bergelar Datuk berusia 46 tahun. Datuk ini mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah iaitu ugut, curi dan menipu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas di stor berkenaan hari ini.

Katanya, menerusi serbuan tersebut pihaknya merampas 29 lori tangki seberat satu, tiga dan 10 tan yang sudah diubah suai, sebuah van, 11 pam penyedut serta empat tangki besar dengan kapasiti 19,000 dan 15,000 liter.

Pihaknya turut merampas 79 tong kapasiti 1,000 liter, minyak diesel berjumlah 95,000 liter dan wang tunai RM12,507 manakala jumlah keseluruhan rampasan lebih RM3 juta.

Kamarul Zaman berkata, diesel subsidi itu dipercayai dijual di negara jiran dengan menggunakan jalan laut dan rampasan berkenaan merupakan yang terbesar di Johor setakat ini dalam tahun ini.

Menurutnya, modus operandi sindiket itu adalah menggunakan lori yang sudah diubah suai dengan meletakkan tangki di bahagian muatan sebelum membeli diesel di stesen minyak menggunakan satu saluran kecil di bahagian bawah lori.

“Terdapat satu pam khas yang akan menyedut dari saluran kecil tersebut sebelum masuk ke tangki besar di bahagian muatan lori. Mereka cuba mengelirukan dengan menggunakan modus operandi ini,” katanya.

Selain itu, beliau percaya masih terdapat saki baki ahli sindiket berkenaan dan pihaknya akan memburu mereka sekali gus melumpuhkan terus kegiatan haram berkenaan.

Pihaknya juga akan menyiasat sama ada mana-mana penguat kuasa terlibat atau bersekongkol dengan sindiket berkenaan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barangan kawalan dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya.

Jika sabit kesalahan katanya, boleh didenda tidak lebih RM1 juta dan tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan berikutnya.

Beliau memberitahu, setakat ini pihak polis marin sudah membuat lapan kes tangkapan bersabit kes di bawah peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 di seluruh negeri.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *