SEORANG pekerja ladang warga India, Karthikeyan Ayyadurai, 25, yang dilaporkan hilang ketika mandi sungai di jeti Waterfront Bagan Datuk di Bagan Datuk, ditemukan lemas pukul 7.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, jasad lelaki yang berkerja di sebuah ladang di Hutan Melintang ditemui lengkap berpakaian di perairan Kampung Pasang Api, kira-kira dua kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang.
“Sebelum itu mangsa dilaporkan hilang ketika mandi sungai pukul 5.30 petang kelmarin.
“Rakan sekerjanya melihat mangsa terjun ke sungai sebelum dihanyutkan arus deras. Dia kemudiannya menghubungi polis memaklumkan kejadian,” katanya pada kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Menurut beliau, pihaknya mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
“Mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Leave a Reply