CUBAAN satu sindiket menyeludup rokok bernilai RM105,000 berjaya dipatahkan selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot gentian kaca di muara Sungai Kuantan, di Kuantan, semalam.
Bot dinaiki dua lelaki itu dikesan pihak maritim berada dalam keadaan mencurigakan pada lokasi 2.6 batu nautika barat daya muara Sungai Kuantan pada pukul 1.35 pagi.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot samaran dinaiki tiga anggota maritim itu sedang melaksanakan rondaan Operasi Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan.
“Pihak maritim mengesan bot terbabit bergerak di persisiran pantai menuju ke Sungai Kuantan.
“Menyedari kehadiran anggota maritim, suspek memecut bot dinaiki ke arah hulu Sungai Kuantan.
“Suspek kemudian meninggalkan bot dan berjaya meloloskan diri ke dalam hutan bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Kamal Ariffin berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot yang ditinggalkan, pihaknya menemui 35 kotak berisi rokok dipercayai tidak bercukai disyaki cuba diseludup untuk dipasarkan di pasaran tempatan.
“Semua rokok yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.
“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.
Leave a Reply