Tokoh Pendidikan Tun Arshad Ayub meninggal dunia

TOKOH pendidikan negara Tun Arshad Ayub meninggal dunia pada pukul 2.06 pagi tadi.

Mengesahkan berita pemergian itu, keluarga Allahyarham menerusi satu kenyataan berkata jenazah Allahyarham ketika ini masih lagi berada di hospital.

Allahyarham sebelum ini dilapor dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak Selasa lepas kerana masalah kesihatan.

Arshad, 93, merupakan pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) sejak tahun 1967 sehingga 1975 yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Sepanjang hayatnya, Allahyarham menabur bakti di UiTM dan dilantik sebagai Pro-Canselor selain pernah dipinjamkan sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

Anak kelahiran Muar, Johor itu juga pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Utama, Kementerian Pertanian dan Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah.

Allahayarham juga aktif berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah beberapa syarikat awam dan badan berkanun.

Jenazah Allahyarham Tun Arshad akan dibawa ke Masjid Kolej Islam Malaysia, Jalan Universiti untuk solat jenazah yang dijangka dilaksanakan selepas solat zohor.

Difahamkan jenazah kemudian dijangka dikebumikan di Makam Diraja Selangor. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *