SPRM Johor tahan CEO syarikat telekomunikasi minta,terima rasuah RM200,000

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat rangkaian telekomunikasi bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah lebih RM200,000 menerusi satu operasi yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 43 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Selangor, kira-kira pada jam 8.00 malam semalam selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, sekitar April tahun lalu, suspek telah meminta dan menerima wang rasuah tersebut daripada sebuah syarikat lain sebagai dorongan memberikan kerja berkaitan projek kejuruteraan pembinaan dan pembaikian menara telekomunikasi yang berjumlah hampir RM50 juta.

Susulan itu, Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini membenarkan suspek direman selama empat hari selepas SPRM Johor membuat permohonan reman pagi tadi.

Perintah reman yang bermula hari ini sehingga 17 Jun depan itu keluarkan oleh Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Dato’ Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *