TOKOH seni bela diri Taekwondo dan Pengasas Global International Taekwondo Federation (GITF ), Prof Datuk Dr Md Saberi Md Salleh meninggal dunia pada usia 72 tahun pada pukul 7.33 pagi tadi.
Perkara tersebut telah disahkan oleh anak Allahyarham, Shareen dan Suzlan.
Allahyarham Saberi, bekas dekan pertama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu dilaporkan berada dalam keadaan yang tenat dan telah dimasukkan ke Hospital Shah Alam akibat pelbagai komplikasi awal Mei lepas.
“Dengan rasa sedih dan penuh dukacitanya dimaklumkan bahawa ayahanda kami Md Saberi Md Salleh telah kembali menemui penciptanya pada pukul 7.33 pagi, Selasa 14, Jun 2022.
“Dengan rendah diri, saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan agar ayah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang dikasihi-Nya” menurut kenyataan ringkas daripada keluarganya.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Surau Al-Amin Kuarters Polis Seksyen 20 Shah Alam untuk urusan selanjutnya.
Pada 2006 Allahyarham mendapat sokongan 32 negara anggota gabungan untuk menubuhkan GITF sekali gus menjadi presiden.
Beliau seorang antara bukan warga Korea yang dilatih secara peribadi oleh mendiang Jeneral Choi Hong Hi iaitu pengasas taekwondo di negara Asia Timur dan mantan Presiden Persekutuan Taekwondo Antarabangsa (ITF).
Saberi juga terkenal sebagai Pengasas Persekutuan Taekwondo Global Malaysia (MGTF), Pengasas Akademi Taekwondo Sabree dan penerima International Hall of Fame Award 2008 The World Head of Family Sokeship Council yang hanya dianggotai pakar seni bela diri seperti Jackie Chan dan Chuck Norris.
Pada Januari 2010, Saberi dianugerahkan Tali Pinggang Hitam Tahap Ke-10 dan gelaran Mahaguru Agung (Grandmaster Chong Kwan Jang Nim) daripada Persekutuan Song Do Kwan Kong Soo Doo. – BERNAMA
Leave a Reply