pindaan perlembagaan UMNO taubat nasuha perlembagaan UMNO penggal

UMNO patut insaf, taubat nasuha depan rakyat

Oleh RIZQI ZABIDI

BEKAS parti kerajaan yang memegang rekod terlalu lama mentadbir negara ini perlu mengambil peluang berbaki untuk mempamerkan keinsafan dan taubat nasuha di depan rakyat serta melunaskan amanah dalam kerajaan bersama hingga berakhir penggal bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ketua Penerangan Pas Kedah, Mohd. Azam Abd. Samat berkata, golongan itu tidak sepatutnya bersikap gopoh dan rakus untuk menghadap Pilihan Raya Umum ke-15 ketika pelbagai masalah masih membelenggu rakyat.

Meskipun tidak menyebut mana-mana parti, namun ‘pesanan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau itu dipercayai merujuk kepada UMNO yang mana beberapa kepimpinannya kebelakangan ini dilihat seakan sudah tidak sabar menuntut supaya Parlimen dibubarkan segera.

“Sepatutnya tempoh yang ada dimanfaatkan untuk melaksanakan tanggungjawab dan mensejahterakan rakyat. Natijah PRU-14 lalu, kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi mimpi ngeri rakyat mesti jangan diberi peluang untuk diulang.

“Semua agenda yang dirancang meskipun dalam tempoh masa singkat ini mestilah diterjemahkan dalam agenda bertindak kerajaan. Masalah rakyat mestilah diselesaikan semaksimum mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MOHD AZAM ABD SAMAT

Mohd. Azam menambah, Pas Kedah komited dengan arahan Pas Pusat untuk memperteguhkan Muafakat Nasional (MN) dan memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

“‘Khemah’ besar mahu pun ‘jajaran baharu’ langsung tidak akan membangkitkan selera Pas untuk bersama lantaran Pas menolak DAP sebagai rakan sekutu berikutan sikap mereka terhadap Islam.

“Berhubung PRU, Pas meletakkan keyakinan kepada janji Allah untuk kemenangan Islam dengan semampu mungkin usaha dan ikhtiar dilaksanakan. Apa jua keputusan yang Allah tentukan adalah yang terbaik, justeru ia tidak menjadi sebab untuk kita bersikap resah-gelisah seolah-olah tirai besi penjara sedang berada di depan mata,” katanya.

Tambahnya, seluruh ahli Pas sentiasa bermotivasi tinggi dan hanya mengharapkan reda Allah dalam apa jua gerak kerja dilaksanakan.

“Kami mengajak semua pihak untuk berbakti kepada rakyat dan beramal soleh sebagai bekalan kita di akhirat nanti,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *