Nelayan ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dalam bot

SEORANG nelayan yang dilaporkan tidak pulang seharian ke rumah setelah turun ke laut ditemukan meninggal dunia dalam bot pada malam tadi.

Mayat mangsa, Wahab Salleh, 77, yang merupakan seorang warga emas ditemukan terbaring dalam bot gentian kaca miliknya pada jarak tiga batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.

Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, mayat mangsa ditemukan oleh anak lelakinya sekitar pukul 8 malam.

Katanya, anak mangsa risau kerana bapanya tidak pulang sehari suntuk selepas keluar rumah sekitar pukul 5 pagi.

“Bimbang dengan keselamatan mangsa, salah seorang anak lelakinya mencari mangsa di kawasan jeti sebelum menemukan mangsa tidak sedarkan diri dalam bot yang dinaikinya,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurut Hanyan, ketika ditemui, mangsa dipercayai telah meninggal dunia antara 10 hingga 12 jam dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Menurut beliau, mayat telah dibawa ke Hospital Kemaman dan dalam proses untuk dituntut ahli keluarga.

Ujarnya, siasatan terhadap mayat mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan ujian saringan Covid-19 juga negatif.

“Berdasarkan latar belakang kesihatan, mangsa dikenal pasti mempunyai sejarah penyakit jantung dan dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung,” jelas beliau.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *