UNIVERSITI Multimedia (MMU) menyampaikan bantuan berjumlah RM8,510 kepada 23 pelajar yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.
Mangsa-mangsa yang berasal dari Selangor, Pahang, Perak dan Johor itu menerima sumbangan tersebut bagi meringankan beban keluarga mereka.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud pada Majlis Serahan Bantuan Banjir MMU anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (STAD) dan Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) di Kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini.
Penerima bantuan, Ammar Abd. Manaf, 22, berkata, sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarganya selepas rumah mereka di Lengga Muar Johor, rosak teruk akibat banjir pada awal Januari 2022.
“Peralatan elektrik, perabot dan lain-lain telah rosak menyebabkan kerugian lebih RM5,000 apabila rumah digenangi air setinggi paras dada,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pemasaran itu.

Rakannya, Muhammad Yusri Azpansyah IrwanSyah yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Telekomunikasi dari Kampung Pauh Behrang Perak pula melahirkan rasa kesyukuran di atas keprihatinan MMU dalam membantu mangsa-mangsa banjir.
“Semasa musim banjir pada Disember 2021, kami semua belajar secara online di rumah. Walaupun begitu, MMU tetap prihatin membantu kami. Dengan sumbangan ini, boleh lah saya serahkan kepada keluarga untuk membeli cat untuk mengecat semula rumah dan membeli barang keperluan lain,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

Penerima-penerima bantuan tersebut ditemui pada majlis serahan berkenaan yang turut dihadiri oleh Naib Presiden Pembangunan Keusahawanan dan Pengalaman Pelajar, Prof. Dr. Wong Eng Kiong, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (STAD), Puan Sri Kusumawati Mohd Daud dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Siti Jamila Syuhada Jailani.
Leave a Reply