SEORANG personaliti media sosial itu atau ‘influencer’ tampil membuat laporan polis bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan video promosi ubat kuat yang dianggap keterlaluan.
‘Influencer’ berkenaan, Mohamad Azlan Mohamad Faudzi berkata, laporan tersebut kerana tidak mahu ada yang terpengaruh dengan promosi ubat kuat berkenaan.
“Paling tidak boleh terima ialah bagaimana boleh ada video sebegitu yang menunjukkan kemaluan lelaki serta kelakuan lucah. Perlu tindakan tegas daripada pihak berkuasa,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.
Minggu lalu dia bersama Pengerusi Muafakat Amal Pengguna (MAP) Saharudin Bakar membuat laporan polis di Balai Polis Gombak berhubung klip video seorang wanita yang menjual ubat khusus untuk lelaki sambil menunjukkan aksi lucah.
Mohamad Azlan yang dikenali menerusi saluran YouTube, Mamukokoot berkata, dia dimaklumkan rakan mengenai penghasilan video lucah berkenaan yang disebarkan menerusi saluran Telegram sejak beberapa minggu lalu yang tular dalam media sosial.
Katanya, video berkenaan turut dikongsikan dalam Facebook, namun sesiapa yang mahu mendapatkan klip penuh perlu menyertai saluran Telegram berkenaan dengan bayaran RM120 sehingga RM150.
“Saya kesal dengan video berkenaan yang membabitkan seorang penjual ubat kuat kontroversi.
“Difahamkan, selain ubat kuat itu, turut disediakan adalah pakej untuk melihat video lucahnya,” katanya.
Sementara itu Saharudin berkata, terdapat beberapa video yang dimuat naik di saluran Telegram secara tertutup yang hanya boleh diakses mereka membayar pakej itu.
Katanya, semakan mendapati, wanita itu yang memakai beberapa nama gelaran sudah beberapa kali menimbulkan kontroversi dengan aksi melampau dipercayai bertujuan melariskan barangan jualannya.
“Apa yang berlaku ialah dia menggunakan cara yang salah untuk melariskan jualan. Kita bimbang jika klip berkenaan dilihat kanak-kanak di bawah umur dan mencetuskan masalah lain.
“Jadi, kita harap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tidak ada lagi video lucah susulan daripada wanita itu selepas ini,” katanya.
Sementara itu pemerhatian wartawan di Youtube Mamukokoot mendapati, perkongsian mengenai isu itu mendapat lebih 24,000 tontonan.
Rata-rata netizen menyatakan kebimbangan mereka mengenai perkara itu yang disifatkan sebagai melampau.
Leave a Reply