Harga alat ganti tidak terkawal, tambang bas sekolah dikaji semula

KENAIKAN mendadak kos penyelenggaraan kenderaan menyebabkan pengusaha bas sekolah terpaksa mengkaji semula tambang ditetapkan.

Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, pihaknya terpaksa menaikkan harga bagi menampung kos operasi serta penyelenggaraan kenderaan yang terpaksa ditanggung mereka.

“Ibu bapa sedia maklum dengan kos operasi yang terlalu tinggi sekarang. Cuma saya jangkakan pengusaha akan bagi kelonggaran.

“Contohnya dalam satu keluarga itu sekiranya ada lima orang naik bas yang sama, seorang sahaja yang akan dinaikkan tambang,” katanya, lapor Astro Awani, hari ini.

Mohd. Rofik berkata, pengusaha bas sekolah sebenarnya tersepit dengan kos operasi yang meningkat.

“Jika dilihat daripada kos alat ganti, langsung tidak terkawal. Harga alat ganti dan tayar (semuanya) naik,” ujarnya.

Di samping itu, katanya, industri bas juga mengalami kekurangan pemandu sama ada melibatkan pemandu bas sekolah atau bas ekspres.

“Boleh dikatakan 80 peratus dulunya pemandu bas sekarang ini sudah bawa lori. Bila sudah bawa lori, mereka tak mahu bawa semula bas sekolah.

“Hampir 60 peratus pengusaha bas sekolah juga sudah ‘gulung tikar’. Mereka tak mampu lagi (tanggung kos operasi) sebab sudah dua tahun tersadai,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *