Muhyiddin PN

Perjuangan suci PN tidak mudah, kata Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta setiap peringkat kepimpinan Bersatu dan PN agar memberi perhatian terhadap dapatan post-mortem Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang juga Presiden Bersatu mengingatkan bahawa perjuangan suci itu tidak mudah dan kejayaannya tidak boleh dilihat dalam jangka masa yang singkat.

Walau bagaimanapun, beliau percaya bahawa selagi mereka masih berpegang kepada prinsip dan semangat perjuangan, insya-Allah mereka dapat berhadapan dengan apa juga cabaran politik, ekonomi dan sosial sebagaimana yang berlaku sekarang.

“Saya suka mengingatkan semua ahli, dalam situasi sekarang ini dengan pelbagai masalah terutama yang berkaitan dengan peningkatan kos hidup rakyat, kita tidak boleh bergerak dan bertindak seperti biasa lagi.

“Kita perlu melipat ganda usaha bagi membantu golongan yang terkesan dengan cara apa sekali pun mengikut kemampuan kerana ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.

“Inilah perkara penting yang harus menjadi keutamaan kita dan bukannya memikirkan tentang bila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlu diadakan.

“Saya menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti agar dapat menggerakkan program yang boleh membantu rakyat yang ketika ini berada dalam situasi paling sukar.

“Semoga dengan sedikit usaha yang diadakan secara berterusan ini dapat membantu golongan atau kumpulan yang terkesan teruk dengan pandemik COVID-19 dan situasi ekonomi semasa negara,” katanya dalam hantaran Facebook.

Sementara itu, beliau gembira melihat ramai tetamu yang datang pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Bersatu Johor semalam walaupun Syawal baru sahaja berlalu.

Muhyiddin berkata, ia sekali gus membuktikan semangat sama ada di peringkat kepimpinan atau sesama ahli Bersatu serta PN Johor terus bersemarak walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran mutakhir ini.

“Ini merupakan petanda yang cukup baik bahawa walau dalam apa juga situasi, perpaduan sesama kita terus kukuh dan utuh,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *