PRESIDEN Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan hari ini turut mengumumkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan PN Johor juga berkuat kuasa serta-merta.
Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam tadi yang dihadiri oleh semua presiden parti anggota PN.
Mereka termasuk Lau, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Presiden STAR Sabah Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Presiden SAPP Datuk Seri Yong Teck Lee serta wakil dari semua komponen.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat juga membuat ketetapan untuk terus memperkasakan PN dan memperkukuhkan gerak kerja parti komponen dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan mendepani isu-isu semasa yang dihadapi rakyat amnya. – BERNAMA
Leave a Reply