Oleh RIZQI ZABIDI
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa mahu melihat setiap pemimpin di tanah air ini dapat duduk semeja serta berganding bahu bagi memastikan negara ini dapat dibawa ke arah yang lebih baik.
Begitu pun menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, semua pihak perlu menolak daripada memikirkan kepentingan diri demi menentukan masa depan negara.
Selain itu katanya, dalam usaha membentuk penyatuan, setiap pihak yang terlibat tidak boleh untuk kata-mengata antara satu sama lain.
“Saya sentiasa mahu melihat pemimpin negara duduk dan bersatu tanpa mengira mereka itu Bersatu, Pas atau UMNO. Tetapi dalam menentukan masa depan negara, kita harus menolak perkara yang hanya memikirkan kepentingan diri.
“Maka kalau nak menyatukan, kita tak boleh kata mengata antara satu sama lain. Sebab itu hari ini kita boleh ‘duduk’ dengan Pas kerana mereka boleh menerima, bersetuju serta bersetuju untuk tidak bersetuju dalam beberapa perkara dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Kenduri Raya Bersatu Baling di Dataran Pejabat Bersatu Baling, Kedah, hari ini.
Hamzah berkata, keadaan itu membuktikan keikhlasan dan kebertanggungjawaban kedua-dua parti demi kepentingan rakyat dalam negara.
Dalam pada itu, Hamzah turut memuji kesepakatan ditunjukkan antara Bersatu dan Pas di Baling yang dilihat sentiasa menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.
Katanya, kesepakatan itu amat penting untuk diperluaskan di seluruh negara ketika pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) dijangka akan berlaku pada bila-bila masa bermula sekarang, hingga habis penggal.
“Jadi ini adalah masanya di mana kita harus tunjukkan bahawa perpaduan serta setiap program dilaksanakan, mampu menentukan masa depan anak bangsa dan negara,” katanya.
Leave a Reply