Siasat peniaga jual ayam sehingga RM13 sekilogram

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SIASATAN akan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap peniaga ayam yang menjual ayam antara RM11 hingga sehingga RM13 sekilogram dan melakukannya secara terang-terangan.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata,
perbuatan tersebut melanggar peraturan iaitu tidak mematuhi harga kawalan yang ditetapkan kerajaan RM8.90.

“Setakat ini sudah beritahu penguat kuasa supaya memantau, sebab kita ada laporan mereka yang jual ayam melebihi harga ditetapkan, bukan secara tersorok tetapi sudah berani ambil gambar dan jual RM12 atau RM13 sekilogram.

“Ini melanggar harga kawalan kita iaitu RM8.90 sahaja. Kita akan tengok mengapa perkara ini berlaku. Ada yang kata peniaga dapat dengan harga yang mahal, macamana nak jual dengan harga tersebut (harga yang diperoleh daripada pembekal).

“Jadi kita akan siasat sebab kita dah tentukan harga dari ladang RM5.60 dan kerajaan beri subsidi kepada ladang ayam RM1.40 sekilogram. Jadi harga ayam dari ladang mesti jual kepada pemborong RM5.60 sekilogram, campur subdisi kerajaan RM1.40 itu jumlahnya RM7. Jadi sepatutnya, tidak ada alasan untuk jual mahal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Johor di Angsana Mall Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihak KPDNHEP sudah mengenakan kompaun RM270,000 terhadap peniaga ayam yang ingkar dengan melibatkan 1,114 kes di seluruh negara dari 5 Februari lalu hingga Jumaat.

Selain itu, beliau berharap ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masong-masing akan menganjurkan jualan Keluarga Malaysia dengan harga yang rendah bagi membantu rakyat.

Rosol mencadangkan pengguna supaya memuat turun aplikasi Price Catcher yang disediakan KPDNHEP bukan sahaja untuk melihat harga ayam tetapi juga membandingkan harga barang keperluan harian lain sebelum membuat pembelian.

Menurutnya, masih ramai pengguna tidak mengetahui kewujudan aplikasi berkenaan yang amat berguna untuk melihat harga barang keperluan harian di kawasan mereka terutama di pasar raya berdekatan.

Mengenai bekalan ayam di seluruh negara, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memaklumkan kepada pihaknya bahawa bekalan ayam setakat ini sehingga Hari Raya Aidiladha adalah mencukupi.

“MAFI urus semua sekali dan kita cuma pastikan bekalan ada atau tidak ada. Setakat tiada isu berkenaan bekalan ayam,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *