Muhyiddin serah jawatan Pengerusi Bersatu Johor kepada Dr. Sahruddin

Oleh RAHIMI MOHAMAD

JAWATAN Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor kini disandang bekas Menteri Besar, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dr. Sahruddin yang sebelum ini Setiausaha Bersatu Johor dilantik ke jawatan itu sejak Rabu lalu.

Muhyiddin berkata, langkah tersebut adalah wajar memandangkan beliau sendiri memegang jawatan Presiden dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) di peringkat Pusat.

“Saya harap semua akan sokong. Saya akan bagi bantuan dari segi pandangan serta nasihat.

“Elok kita beri kepercayaan kepada tokoh-tokoh muda untuk memimpin yang secara tidak langsung menunjukkan kita mengiktiraf proses peremajaan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Jalinan Mesra PN Johor di Taman Scientex Senai, di Johor Bahru, hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, Dr. Sahruddin mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong yang dimenangi sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Selain Setiausaha Bersatu Johor, bekas doktor perubatan itu juga dilantik sebagai Setiausaha PN negeri itu.

Sementara itu, Muhyiddin mengambil alih jawatan Pengerusi Bersatu Johor daripada Mazlan Bujang yang ketika itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa pada September 2020.

Mazlan sebelum itu pula mula menyandang jawatan berkenaan sejak 25 Mei 2019 bagi menggantikan Allahyarham Datuk Osman Sapian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *