JKM ada asas kukuh sita, hentikan operasi Rumah Bonda-Rina

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun menegaskan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai alasan yang kukuh mengeluarkan perintah sitaan dan menghentikan operasi Rumah Bonda.

Jelas beliau, ini kerana rumah kebajikan tersebut tidak pernah berdaftar dengan mana-mana agensi kerajaan semenjak mula beroperasi.

“Rumah Bonda bukan sahaja tidak berdaftar dengan JKM, tetapi juga dengan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Ini merupakan asas yang kukuh untuk JKM berbuat demikian. Jadi kita tidak mempunyai masalah dengan tindakan saman dikemukakan pengasas rumah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Rumah Kanak-Kanak Mini Ulu Tiram, di Johor Bahru, hari ini.

Semalam, Rumah Bonda memfailkan saman terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKM WPKL) bagi memohon perintah supaya rumah perlindungan itu dibuka semula.

Saman pemula itu difailkan Rumah Bonda melalui pengerusinya, Siti Bainun Ahd Razali selaku plaintif, melalui Tetuan Asiah Abd Jalil Law

Chambers di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur pada 7 Jun lalu, dengan menamakan Pengarah JKM WPKL sebagai defendan.

Katanya, seperti sudah diketahui umum, rumah kebajikan tersebut sudah disita sejak tahun lalu kerana tidak berdaftar, malah peringatan sudah diberikan tetapi tetap tidak dihiraukan.

Menurut beliau, tindakan undang-undang diamil pihak berkenaan adalah hak mereka dan pihaknya sedia untuk mengikuti proses mahkamah.

Rina berkata, apabila melakukan sitaan JKM sebenarnya memberikan rumah kebajikan tersebut peluang untuk kemukakan pendaftaran dan perkara berkaitan lain.

Peluang itu ujarnya, diberikan untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan penghuni terjamin kerana pendaftaran rumah kebajikan perlu mematuhi syarat-syarat dan terma yang ditetapkan kerajaan.

Dalam perkembangan lain, Rina mendedahkan JKM telah mengenal pasti sebanyak 1,028 pusat jagaan di seluruh negara yang tidak berdaftar dengan agensi berkenaan menerusi satu operasi pemutihan yang dijalankan pada Februari dan Mac tahun ini.

Bermula Januari tahun ini kata beliau, kementerian telah mengeluarkan arahan untuk dilakukan pemutihan terhadap premis jagaan di negara ini dan dalam tempoh Februari hingga Mac, 1,028 pusat jagaan didapati tidak berdaftar manakala 1,910 pula berdaftar.

“Daripada jumlah berkenaan (1,028), 38 daripadanya telah diperakukan pendaftarannya, 57 telah menghentikan terus operasi, lapan disita, 35 dikenakan kompaun manakala satu telah didakwa.

“Ini adalah pusat jagaan yang bukan dikendalikan JKM sendiri sebaliknya premis yang dioperasikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun secara swasta,” ujarnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *